Sebaik
masuk ke biliknya punggung dilabuhkan atas kerusi kulit empuk berwarna hitam. Disandarkan
tubuhnya ke kusyen sambil menghela nafas. Melepas lelah akibat terpaksa
memanjat tangga ke tingkat 8 pejabatnya. Lif rosak. Ada 4 lif. Kesemuanya under maintenance. Babi! Penghawa dingin yang selalunya sejuk beku
terasa seperti kipas yang diimport dari neraka.
Teringat
masa mula-mula mahu beli pejabat, Arman berebut dengan seorang businessman cina kerana mahukan pejabat
bernombor lapan di tingkat 8. Mereka bida-membida harga. Akhirnya lelaki cina
itu tewas setelah Arman memberi wang kopi kepada agen pemilik bangunan dan
menyogoknya servis from head to toe
secara percuma dan first class. Lelaki mana yang tidak tewas dengan
perempuan cantik?
‘Mimie! Masuk!’
Interkom
ditekan selepas beberapa fail dibelek.
Tiada
jawapan.
Interkom ditekan lagi.
‘Pora, kau
pergi check mana Mimie. Ada kat
tandas ke mengular ke apa. I want to see her, NOW!’
Gagang
diletak sebelum sempat Pora menjawab. Terkocoh-kocoh Pora menyembunyikan katalog
Avon dalam laci. Tindakan refleks. Arman
cuma interkom bukannya dia nampak pun. Seperti juga perbuatan mengangguk
dan menggeleng kepala ketika ditanya ya atau tidak di talian. Ataupun tindakan
menundukkan kepala ketika memandu masuk ke bawah jambatan yang rendah.
Pora, atau
nama sebenarnya Wan Safura Wan Salleh telah lama bekerja di situ. Seorang yang
cekap menjawab hampir setiap soalan di talian juga bijak menangkis panggilan
dari orang-orang tertentu bagi pihak Arman. Kelebihan itu menjadikannya staf
yang paling kurang mendapat maki dan sumpah seranah Arman. Paling kurang bukan tak pernah. Dia antara admin yang masih kekal
berkhidmat berbanding staf-staf admin lain yang mudah-mudah saja dipecat oleh
Arman. Lepas seorang, seorang. Tanpa belas. Ikut mood gila Arman. Kadang-kadang
kesalahan yang dilakukan cuma kesalahan mengeja pada deraf surat.
‘Apa kau
ingat aku kat sini nak tolong spell-check
kau punya ejaan?? Berambus! Lepas lunch
aku takmau tengok muka kau kat pejabat aku! Sia-sia aku bayar gaji. Sia-sia kau
pergi sekolah. Elok kau mampus!’
Hambur
Arman sebelum menghempaskan fail beserta deraf surat ke atas meja Wanda, kerani
ke-empat yang dipecat dalam masa 2 bulan. Semua mata tertumpu ke arah Wanda
yang terkebil-kebil berdiri tak tahu nak buat apa. Panik. Malu. Pasti itu yang
dirasa kerana dimarah secara membuta-tuli di hadapan staf-staf yang lain.
Walaupun itu fenomena biasa di situ, ia pasti meninggalkan calar bagi seorang
staf yang baru berkhidmat selama 6 hari seperti Wanda.
Pora
berbangga dengan imunitinya di situ. Dia bercerita dengan staf yang lain
mengatakan Arman sering memuji kecekapannya bekerja. Nyata, Arman tidak pernah
berbuat demikian. Nyata juga, tidak ada staf yang percayakan ceritanya. Tipikal.
Admin yang baik dengan bos pasti merasakan seolah-olah sebahagian syer syarikat
adalah miliknya.
Baru
sahaja Pora berdiri di hadapan pintu bilik Arman untuk memberitahu perihal
Mimie, kedengaran dengan jelas suara Arman dari dalam,
‘Tak payah.
Aku dah baca surat dia. Kau kol dia sekarang!’
‘Tapi
bos…’
‘Tapi-tapi
apanya? I said, se-ka-rang!’
Pora
bergegas kembali ke tempat duduk. Gagang diangkat dan nombor telefon bimbit
Mimie didail. Jam di tangan menunjukkan pukul 4 petang. Panggilan tidak
dijawab. Pora mencuba lagi. Juga tidak dijawab. Dia tahu ini akan berlaku.
Mimie pasti tak akan jawab panggilan daripada pejabat memandangkan dia berhenti
secara mengejut mengambil kesempatan semasa Arman berurusan di luar negara.
…
2 missed
call.
Kamon, give me four, five, six! Mimie menekan butang silent dan membiarkan sahaja telefon bimbitnya terus-terusan
bergetar. Tiba-tiba ada sms masuk. Dari nombor Arman.
Sepatah
perkataan sahaja ditaip lalu butang send
ditekan sebagai jawapan kepada sms tuan rumah. Kemudian dia terus forward sms kepada Nadhea dan Joanne. Mana tahu kalau-kalau sms tuan rumah tak
sampai kat diorang?
Mimie
termenung. Mendongak ke arah bilah-bilah kipas yang berpusing. Jelas pusingan
yang laju pada level 5 memberi efek warna kelabu kehitaman. Habuk-habuk pada
kipas tidak pernah dibersihkan. Beberapa kali juga gumpalan habuk hitam jatuh
bertaburan atas lantai malah ada yang singgah atas tilam. Mimie sekadar menyapu
dan mengutip mana yang jatuh dan kipas itu tetap dibiarkan dalam keadaan
begitu. Leceh nak bersihkan kipas ni. Leceh. Kena berdiri atas kerusi. Kipas kena off. Berpeluh-peluh. Leceh kan?
Panas. Bahang
mula terasa. Dia tak pasti samada ianya memang faktor cuaca atau hatinya yang
makin gelisah. Rambut yang panjang mula terasa rimas. Sekilas dia membiarkan
mata menjelajah ke segenap ruang dalam bilik. Menghitung setiap barang yang
perlu dikemas dan dibungkus. Walaupun tak banyak mana tapi dia perlukan
kenderaan untuk memindahkan barang-barang. Saat-saat macam nilah seorang teman
lelaki yang punya kereta dan kaya diperlukan. Ah. Lelaki kalau kaya, kau nanti yang makan hati! Gumam Mimie
sendiri.
Lama juga
dia meninggalkan dunia percintaan. Leo, lelaki bertatu di lengan kanan adalah
lelaki terakhir yang ditinggalkannya. Setahun yang lalu. Sejak berpisah, Mimie
senang hidup sendiri daripada punya teman lelaki yang membebankan dirinya.
Cinta antara dua insan perlukan kasih sayang dalam jiwa; menukarkan dunia yang
dulunya gelap menjadi cerah, ruang yang sempit menjadi luas malah kehidupan
yang susah menjadi mudah. Senang cerita, kalau Leo masih lagi menjadi teman
lelakinya ketika ini, dia yakin masalah yang dihadapi sekarang tetap tidak akan
dapat diselesaikan. Jadi, baik tak payah kan?
Menyorot
kepada kalendar kuda di dinding, Mimie mengira hari. Sebulan lagi, sebulan
lagi. Mimie cuba
bertenang. Tapi nak pindah mana ni?? Sebulan lagi, sebulan lagi. Lagi sekali Mimie cuba bertenang.
‘Fuck!’
Mimie
tersenyum sebaik sms balas dari Joanne diterima setengah jam kemudian. Joanne
juga sepertinya mungkin. Nadhea pula terus menyepi. Tanpa jawapan. Sibuk
barangkali. Ah. Nadhea pasti tak ada masalah kalau hal-hal sebegini terjadi. Dia
mampu.
Tubuhnya
berpeluh. Rambut yang tebal ditocang tinggi. Tuala dicapai lalu disangkut di
belakang pintu bilik mandi. Bilik mandi yang dikongsi dengan Joanne. Ada sebakul botol-botol
penjagaan kecantikan Joanne yang diletakkan di situ. Syampu, pencuci muka, foam mandi, berus gigi, ubat gigi dan
2-3 botol cecair lain dari jenama yang macam-macam dan ada yang sepenuhnya
bertulisan cina. Setiap kali melihat syampu bawang yang masih bersisa separuh
botol, Mimie tersenyum sendiri. Ia seperti jenaka yang tak ketahuan pucuk
pangkalnya. Terus wajah Jackie Chan memenuhi ruang minda. Rambut kuning Joanne
pasti bermasalah, fikirnya.
Air dari
pancuran dilepaskan membasahi seluruh tubuh dari kepala terus ke kaki. Burrrrr.
Terasa segar. Hilang seketika masalah yang berselirat dalam kepala. Mimie
mencapai botol syampu bersaiz sederhana miliknya. Syampu kawalan kelemumur dari
ekstrak buah-buahan dengan tambahan mint untuk
menyejukkan kulit kepala. Digoncangnya botol. Ringan. Dah nak habis. Kandungannya
yang terlalu sedikit itu tak mampu untuk mencuci keseluruhan rambut Mimie yang
tebal dan panjang. Ah. Tekanan! Hilang terus mood nak
mandi.
Sejurus
syampu bawang dikerling. Sorry Joanne, nampaknya aku terpaksa. Haaa, itulah kau gelakkan lagi syampu aku. Mimie berdialog
sendiri sambil tangan pantas menuang syampu atas kepala. Bau herba. Rambut yang
panjang perlukan syampu yang banyak setiap kali dicuci. Mimie seperti mahu
memotong rambut bila memikirkan botol-botol syampu yang mahal di pasaran. Di
kala ini semuanya terasa mahal. Semuanya.
‘I love
your hair Mimie. Mahal rambut you ni. Love the smell too’
Kata-kata
nakal diiringi senyum simpul sering diterima setiap kali berurusan dengan
klien-klien Arman.
Mengingatkan
itu air mata hangat mengalir laju bercampur sejuknya alir deras pancuran mandi.
Buih syampu
meleleh dari hujung rambut turun ke dahi masuk ke mata.
Betul kata
orang, nasib malang
akan datang secara pakej. Lepas satu, satu lagi akan muncul. Sepertinya jatuh
ditimpa tangga dihempap pula pasu bunga lalu pasu pecah terhambur tanah atas
kepala. Begitulah lumrah.
Baru
sebentar tadi telefon bimbitnya berbunyi. Pesanan ringkas diterima. Pesanan
ringkas dari tuan rumah tempat Mimie menyewa. Rumah yang disewa ialah sebuah
apartment kos sederhana yang punya 3 bilik, bilik master, bilik medium dan juga
bilik kecil. Ruang tamunya agak besar tapi cuma diisi satu sofa panjang berwarna
merah yang diletak mengadap sebuah televisyen kecil. Berhabuk sudah di situ
tiada siapa yang peduli. Ruang makan yang bersambung terus dengan ruang tamu
dilengkapi dengan sebuah meja segiempat sama frosted glass bersama 4 kerusi berwarna putih. Dapur pula sangat kecil
jika mahu dibandingkan dengan dapur rumah-rumah di kampung. Desain tipikal
untuk apartmen di kota
di mana rata-rata penghuni terdiri daripada golongan yang sentiasa sibuk dan
gemar memilih makanan segera sebagai menu utama rutin seharian. Cepat dan
ringkas.
Setiap satu
bilik juga disewakan dengan harga yang berbeza. Mimie menyewa bilik yang
tengah, iaitu bilik medium. Diikutkan hati, dia mahu pilih bilik yang kecil
sahaja tetapi sewaktu mencari bilik kosong. hanya bilik tengah sahaja yang
tiada penghuni.
Nadhea, penghuni bilik master. Bilik master dilengkapi kemudahan bilik mandi.
Agak privasi juga mahal harga sewanya. Jarang-jarang Mimie berselisih dengan
Nadhea kerana faktor kerjaya. Apa yang Mimie tahu Nadhea bekerja secara shift. Kadang-kadang gilirannya di waktu
pagi-pagi buta, kadang-kadang gilirannya masuk kerja di kala senja mahu
berlabuh. Jadual kerja yang tidak menentu serta perselisihan waktu yang tidak
sama membuatkan komunikasi kedua-duanya sangat kurang dan tidak seberapa. Mimie
yakin Nadhea seorang yang berpendapatan tinggi jika dilihat dari caranya
berpakaian, haruman semerbak minyak wanginya, kasut-kasut yang berjenama juga bekalan minuman dan makanannya di dapur terdiri
daripada susu, milo, horlicks dan cornflakes. Sedangkan Mimie cuma mampu adakan
teh dan maggi sahaja.
Mimie
sendiri tidak pernah bertanya secara detil tentang pekerjaan Nadhea. Kalau
berjumpa pun setakat di dapur ketika milo dibancuh ataupun mug dicuci di sinki.
Namun begitu, Mimie akui Nadhea seorang yang berperawakan menarik, tinggi
lampai, punya kulit yang cerah dan halus serta punya sebaris gigi yang cantik
terus menjadikan senyumnya juga sangat menggoda. Nadhea juga peramah cuma masa
saja yang membatasi mereka untuk berbual sesama sendiri.
Bilik
kecil pula dihuni Joanne. Seorang pekerja 7 Eleven berbangsa cina yang Mimie
sendiri tak pasti waktu keluar dan pulangnya ke rumah itu. Pernah 2-3 kali
mereka berselisih dalam lif dan pernah juga dia lihat Joanne bersama seorang
penkid berbangsa melayu. Rakannya mungkin. Pintu bilik Joanne sentiasa bertutup
tak kira masa. Cuma kadang-kadang kewujudannya di rumah itu dapat diteka dengan
adanya kasut kanvas berwarna merah di atas rak kasut. Jika ada lagi sepasang
kasut dari jenama yang sama tetapi saiz dan warna berbeza, Mimie meneka penkid
itu ada bersamanya. Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai Joanne. Seorang
yang sederhana, kurus kering, berambut lurus diwarnakan kuning paras bahu dan
punya sepasang mata yang cantik dan tidak sepet. Lumrah hidup di kota memang begitu. Rakan
serumah belum tentu betul-betul kenal inikan pula jiran sebelah menyebelah.
‘ Rumah perlu dikosongkan segera. Notis sebulan bermula hari ini.’
Celaka punya tuan rumah! Aku nak pergi merempat mana dengan poket kosong macam ni?
Sebaik sahaja surat
peletakan jawatan serta-merta berkuatkuasa 24 jam dihulur di meja admin
pejabatnya, Mimie rasa lega. Entah lega yang macamana dia
sendiri tak pasti. Tapi dia lega kerana tak perlu datang ke neraka itu lagi. Melihat
riak wajah Kak Pora yang berjawatan admin besar di situ, sewaktu suratnya
dihulur pagi tadi sudah cukup menjengkelkan.
‘ Kau nak berhenti? ‘
Mimie sekadar mengangguk
lemah. Anak mata dilarikan ke arah kalendar kecil di atas meja Kak Pora yang
telah ditanda pangkah setiap satu tarikhnya. Kecuali tarikh hari ini. 13
haribulan 3, 2009. Mungkin belum ditanda sebab harinya belum berakhir. Atau,
mungkin 2-3 minit lagi akan ditanda dengan nota, Mimie Last Day. Di sebelah
kalendar ada satu mug berwarna putih yang masih berasap. Sepertinya baru sahaja
ia dibancuh. Tiada jawapan pada interkom menjawab persoalan di mana Kak Pora
berada sebentar tadi. Aroma harum kafein dapat dihidu dari tempat Mimie
berdiri. Bibir mug telah bertanda kesan gincu. Berwarna pink pekat. Warna fevret
golongan-golongan admin pada pendapat Mimie. Dari jauh lagi dah boleh nampak
bibir daripada badan. Memandangkan bibir sangat memainkan peranan berbanding
kaki dan tangan.
‘ Alasan apa kau bagi nak
berhenti ni?’
Mimie sedikit kaget. Hilang terus
lamunannya sejurus memaksa pandangan dihalakan ke bibir Kak Pora yang
terkumat-kamit. Lebih tepat ke arah tahi lalat sebesar cekodok dekat dagu
sebelah kanan Kak Pora. Maaf menipu. Tidaklah sebesar itu. Cuma ia besar yang
agak luarbiasa. Entah apa yang dibebelkan dia tak pasti. Mimie berdehem kecil
untuk menghilangkan rasa gemuruh. Berbohong perlukan keyakinan diri yang kuat. Dia
membetulkan sedikit skirt pendek hitam paras peha yang membalut sebahagian
bawah badannya. Sekilas melontarkan mata ke arah jam tangan di tangan kiri. Kasut
tinggi yang dipakai terasa gayat pula saat itu.
‘Mak sakit. Kena balik kampung.’
Kak Pora dilihatnya hanya menggeleng-gelengkan kepala sambil tangannya mencapai
pembuka surat, mengoyak sampul surat
dari Mimie lalu mengeluarkan surat
tersebut untuk dimasukkan ke atas tray
dalam bilik bos, Encik Arman. Dia bingkas selepas menghirup sedikit kafein dari
dalam mug. Mimie memerhatikan tindak-tanduk Kak Pora dengan ekor mata.
…
Drastik. Ya. Ia tindakan drastik. Wang simpanan langsung tak ada. Gaji
bulan depan juga tak ada. Gaji bulan ni pun belum tentu lagi dibayar atau
tidak. Sewa rumah, bil-bil, hutang-hutang kad kredit, siapa yang nak bayar? Mahu
makan apa? Mak ayah? Tak pernah ada nama mak dan ayah dalam kamus hidupnya. Dah
lama dia hidup sendiri di kota
kapitalis ini.
Bukannya Mimie tak fikir panjang tentang semua itu tapi cukup-cukuplah
dengan seksaan mental selama dia bekerja di situ. Setiap kali pulang ke rumah
hatinya tak keruan. Tidurnya tak pernah lelap. Fikirannya bercelaru. Betullah
kata orang, apa yang penting dalam kehidupan ini bukanlah wang berjuta tapi cuma
perlukan sekeping hati yang tenang. Mimie akur.
Kembali dia ke meja kerja lalu dengan pantas mengemas barang-barang
untuk beredar dari situ. Bulan ini baru masuk bulan ketiga Mimie bekerja di
pejabat Sales & Trading milik
Encik Arman. Masih lagi dalam tempoh percubaan. Tidak banyak barang yang perlu
diangkut. Cuma beberapa fail dan sekeping planner yang mengandungi catatan rekod tarikh-tarikh aktiviti serta temujanji
dengan klien.
...
Tugasnya sebagai Event Manager
hanyalah sekadar jawatan yang tertera di atas kad nama. Mimie tak sanggup lagi untuk
hidup bergelumang dosa.