BERANI NAK IKUT??

Monday, May 14, 2012

MAHU TAK MAHU (3)

.
.
.




‘Okay’

Sepatah perkataan sahaja ditaip lalu butang send ditekan sebagai jawapan kepada sms tuan rumah. Kemudian dia terus forward sms kepada Nadhea dan Joanne. Mana tahu kalau-kalau sms tuan rumah tak sampai kat diorang?

Mimie termenung. Mendongak ke arah bilah-bilah kipas yang berpusing. Jelas pusingan yang laju pada level 5 memberi efek warna kelabu kehitaman. Habuk-habuk pada kipas tidak pernah dibersihkan. Beberapa kali juga gumpalan habuk hitam jatuh bertaburan atas lantai malah ada yang singgah atas tilam. Mimie sekadar menyapu dan mengutip mana yang jatuh dan kipas itu tetap dibiarkan dalam keadaan begitu. Leceh nak bersihkan kipas ni. Leceh. Kena berdiri atas kerusi. Kipas kena off. Berpeluh-peluh. Leceh kan?

Panas. Bahang mula terasa. Dia tak pasti samada ianya memang faktor cuaca atau hatinya yang makin gelisah. Rambut yang panjang mula terasa rimas. Sekilas dia membiarkan mata menjelajah ke segenap ruang dalam bilik. Menghitung setiap barang yang perlu dikemas dan dibungkus. Walaupun tak banyak mana tapi dia perlukan kenderaan untuk memindahkan barang-barang. Saat-saat macam nilah seorang teman lelaki yang punya kereta dan kaya diperlukan. Ah. Lelaki kalau kaya, kau nanti yang makan hati! Gumam Mimie sendiri.

Lama juga dia meninggalkan dunia percintaan. Leo, lelaki bertatu di lengan kanan adalah lelaki terakhir yang ditinggalkannya. Setahun yang lalu. Sejak berpisah, Mimie senang hidup sendiri daripada punya teman lelaki yang membebankan dirinya. Cinta antara dua insan perlukan kasih sayang dalam jiwa; menukarkan dunia yang dulunya gelap menjadi cerah, ruang yang sempit menjadi luas malah kehidupan yang susah menjadi mudah. Senang cerita, kalau Leo masih lagi menjadi teman lelakinya ketika ini, dia yakin masalah yang dihadapi sekarang tetap tidak akan dapat diselesaikan. Jadi, baik tak payah kan?

Menyorot kepada kalendar kuda di dinding, Mimie mengira hari. Sebulan lagi, sebulan lagi. Mimie cuba bertenang. Tapi nak pindah mana ni?? Sebulan lagi, sebulan lagi. Lagi sekali Mimie cuba bertenang.

‘Fuck!’

Mimie tersenyum sebaik sms balas dari Joanne diterima setengah jam kemudian. Joanne juga sepertinya mungkin. Nadhea pula terus menyepi. Tanpa jawapan. Sibuk barangkali. Ah. Nadhea pasti tak ada masalah kalau hal-hal sebegini terjadi. Dia mampu.

Tubuhnya berpeluh. Rambut yang tebal ditocang tinggi. Tuala dicapai lalu disangkut di belakang pintu bilik mandi. Bilik mandi yang dikongsi dengan Joanne. Ada sebakul botol-botol penjagaan kecantikan Joanne yang diletakkan di situ. Syampu, pencuci muka, foam mandi, berus gigi, ubat gigi dan 2-3 botol cecair lain dari jenama yang macam-macam dan ada yang sepenuhnya bertulisan cina. Setiap kali melihat syampu bawang yang masih bersisa separuh botol, Mimie tersenyum sendiri. Ia seperti jenaka yang tak ketahuan pucuk pangkalnya. Terus wajah Jackie Chan memenuhi ruang minda. Rambut kuning Joanne pasti bermasalah, fikirnya.

Air dari pancuran dilepaskan membasahi seluruh tubuh dari kepala terus ke kaki. Burrrrr. Terasa segar. Hilang seketika masalah yang berselirat dalam kepala. Mimie mencapai botol syampu bersaiz sederhana miliknya. Syampu kawalan kelemumur dari ekstrak buah-buahan dengan tambahan mint untuk menyejukkan kulit kepala. Digoncangnya botol. Ringan. Dah nak habis. Kandungannya yang terlalu sedikit itu tak mampu untuk mencuci keseluruhan rambut Mimie yang tebal dan panjang. Ah. Tekanan! Hilang terus mood nak mandi.

Sejurus syampu bawang dikerling. Sorry Joanne, nampaknya aku terpaksa. Haaa, itulah kau gelakkan lagi syampu aku. Mimie berdialog sendiri sambil tangan pantas menuang syampu atas kepala. Bau herba. Rambut yang panjang perlukan syampu yang banyak setiap kali dicuci. Mimie seperti mahu memotong rambut bila memikirkan botol-botol syampu yang mahal di pasaran. Di kala ini semuanya terasa mahal. Semuanya.

‘I love your hair Mimie. Mahal rambut you ni. Love the smell too’

Kata-kata nakal diiringi senyum simpul sering diterima setiap kali berurusan dengan klien-klien Arman.

Mengingatkan itu air mata hangat mengalir laju bercampur sejuknya alir deras pancuran mandi.

Buih syampu meleleh dari hujung rambut turun ke dahi masuk ke mata.

PEDIH.


.


Ada cerita di sebalik setiap foto perspektif ini. 






sambung....





8 comments:

ewanthology said...

panas tu sebab kipas berhabuk... cecuba rajinkan diri lap bilah kipas tu :-)

Aleen Aiden said...

heh. pesen bersambung sambung. sekali jalan je tak boleh? *angkuh*

miloaiskurangmanis said...

lenkali jangan simpan rambut panjang
cepat potong kasik pendek skit
boleh jimat syampu!

Asyiqin Haulisah said...

ini mcm novel awak.

gadisBunga™ said...

aku selalu amik kesempatan utk menangis masa mandi. tak obvious sgt. privacy. dan feeling pun lebih tebal. gaya mcm nengis dalam hujan.

tapi keluar dari bilik mandi mula la cari ais utk redakan mata yang panas dan bengkak. dem.

Anonymous said...

sambung lagi? cepat cepat cepat.

cikceriacorner said...

wow..bleh wat novel ni...best,,heheh

Anonymous said...

supreme clothing
yeezy supply
off white jordan 1
moncler outlet
curry shoes